expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Pages

14 May 2015

10 Mei 1989

Assalamualaikum..

10 Mei 1989.. 
Lahir seorang bayi lelaki yang comel lagi putih menjadi kesayangan mak dan abah. Tak di sangka kelahiran seorang bayi lelaki itu telah dicatatkan jodohnya dengan seorang bayi perempuan yang lagi comel dari bayi lelaki tersebut yang dilahirkan lebih awal dari bayi lelaki tersebut. Dan bayi perempuan itu yang sedang mengetuk-ngetuk keyboard ini sekarang.(-_-).

Tulus hati dari sanubariku, aku ucapkan terima kasih tak terhingga buat arwah mak yang telah melahirkan dia yang kini menjadi suamiku. Moga Allah tempatkan mak di kalangan wanita solehah bidadari syurga. Kami bakal menyusul pula selepas ini. Juga buat abah yang mendidik anak lelakinya yang kini juga menjadi bintang hatiku.

Duhai suamiku..
Tidak ku punya kekayaan dunia untuk aku persembahkan buatmu. Cukup sekadar doa saban hari agar Allah sentiasa melindungimu dan menyayangimu. Cukup sekadar Allah aturkan jalanmu agar menjadi seorang hambaNya yang paling dekat denganNya. 

Duhai suamiku..
Kau nikahi diriku dengan kalimat yang mulia dan kau pelihara diriku sebagai amanahmu. Terima kasih yang tak terhingga kuucapkan. Tidak mampu untuk aku balasi segala pengorbananmu dan juga aku masih tidak mampu membalas jasa kedua ibu bapaku yang rela hati melepaskan anak perempuannya untuk bergelar isteri buat dirimu..

Duhai bintang hatiku..
Aku mengerti perkahwinan yang kita bina ini punya cita-cita bermakna. Aku tau kau dan aku mahu mencium haruman syurga. Bersama mereka-mereka yang pernah bersama kita. Dan aku jua tahu perjalanan kita tak akan betah dengan ujian yang menggegarkan bahtera kita. Namun aku pinta moga kau sabar dan berdoa kepadaNya moga kita mampu mengharungi jua.

Wahai penyejuk mataku..
Maafkan aku andai fitrahku adakalanya mengecewakan dirimu. Maafkan aku andai emosiku melebih rasionalku. Adakalanya aku tak mampu untuk mengawal diriku. Walaupun berkali-kali kau katakan aku isteri yang terbaik dan cukup buat dirimu, namun aku lebih bimbang apa pandangan Allah padaku yang memegang amanah itu. Moga kau pimpin diriku untuk menjadi yang terbaik di pandanganNya jua. Moga kita sama-sama berlari mengejar redha ilahi.

Buat suamiku.. Selamat hari lahir dariku.. moga menjadi hamba, anak dan juga suami yang soleh.. Moga redha allah sentiasa bersamamu..



06 April 2015

Kenangan KPM datang lagi

Assalamualaikum..

20 Mac 2015

Rumah kami tiba-tiba sahaja terputus bekalan elektrik. baru sahaja ingin mengemas rumah. Suamiku dalam perjalanan balik ke rumah dari tempat kerjanya. Pulang sebentar untuk melihat apa yang terjadi dengan bekalan elektrik di rumah kami.

Terdengar bunyi deringan handphone Lenovo ku berkali-kali.. Mama call.. kenapa ya? Saat terdengar bicara mama buat aku terasa mahu terduduk. Surat dari KPM datang lagi. Menuntut pembayaran gantirugi biasiswa. Setelah dua tahun surat rayuan dari pihakku di hantar, baru kini aku dapat balasannya. Tak tahu kenapa, segala kenangan silam itu menerpa satu persatu. Pahit untuk ditelan namun semuanya tinggal kenangan. Aku menangis lagi. Menangis memikirkan ujian demi ujian menimpa diri.

Suamiku pulang dan terkejut melihat aku terduduk di atas katil dengan wajah kemerahan diselangi dengan air mata membasahi mata. Sudah jadi kebiasaan aku yang menangis dulu baru berfikir secara rasional. Hati seorang perempuan. Sadis.

Suamiku memujuk dengan kata-kata motivasi dipenuhi dengan ucapan berunsur akidah. Memperingatkan aku tentang adanya Allah. Menyedarkan aku erti ujian. Dahulu aku tanggungjawab ibu ayahku. Kini, suamiku berkata padaku bahawa dia akan menyambung menggalas tanggungjawab itu. Ada sedikit ketenangan di dalam hati. Mulai cuba mempositifkan diri. Hari itu juga, kami pergi melepaskan lelah dan segala kemelut yang melanda diri dengan berjalan. Berjalan melihat keindahan alam. Menikmati anugerah dan nikmat ciptaan Ilahi. Alhamdulillah. Terubat jiwaku.

Kali ini aku merancang satu demi satu dengan dimulai kalimah Allah. Moga Dia mempermudahkan urusanku. Moga Allah sentiasa memberikan kebahagiaan dan keberkatan hidup di dalam jiwa kami. Ujian daripada KPM ini hanyalah untuk menguji imanku dan suami. Juga kedua ibu bapaku. Bila aku fikir, ini semua ketentuanNya. Dengan ketentuanNya juga aku di sini. Mendalami ilmu yang aku cintai. Tidak lagi berada di dalam hiruk pikuk dunia yang aku tidak kenali, Dunia yang bagiku langsung tidak kena dengan pendirianku. Dan disitu aku ketemu hikmahnya.

Jika kita mulai bercita-cita untuk menyuburkan Islam dan memperjuangkannya, masakan jalannya dihampar dengan permaidani indah. Dan aku sedar, aku insyaAllah di dalam jalanNya, Sunnah Orang Berjuang.

Nurul_Islam

18 March 2015

Sahaja Aku Menuntut Ilmu KeranaNya

Assalamualaikum..

Kaifa hal? Semoga Allah mencurahkan keberkatan kepada kita semua. Sebenarnya beberapa kali saya cuba untuk meletakkan tajuk bagi pengisian kali ini. This is just my thought dan kalau ada yang salah, mohon tegur ya. Syukran. Moga kita perolehi manfaat bersama.

Saya hanya ingin melontarkan idea dan pandangan saya yang kini berusia 26 tahun terhadap situasi menuntut ilmu pada masa kini. Umur bukan bermakna seorang itu cukup matang dalam pemikirannya seiring dengan peningkatan umurnya. Ini hanyalah sekadar pandangan saya yang dhaif ini. 

Saban hari saya merasakan satu kerugian sekiranya saya tidak mampu untuk bertanya sesuatu yang di luar kotak pengajaran di dalam kelas yang berkaitan dengan aspek keilmuan yang saya pelajari. Mungkin kerana saya merasakan sudah cukup membiarkan diri saya hanya mengadap guru dengan menerima segala yang ada dari guru terbabit tanpa diri saya sendiri bergerak untuk mencari lebih banyak lagi maklumat tentang sesuatu perkara. Tapi.. yes.. saya selalu kalah dengan alasan manusiawi yang direka oleh saya sendiri untuk mencari dan menggali lebih dari apa yang saya perolehi di dalam kelas dan kuliyah. Malas ke library untuk membuat research, penat, tak sempat dan macam-macam lagi. Sedangkan saya telah membazirkan waktu dan masa saya dengan tidak mengambil kesempatan untuk betul-betul menuntut ilmu dari muallim dan muallimah di tempat pengajian. Masih lagi mahu membiarkan diri disuap. Mengutip sebanyak yang mungkin untuk saya kongsikan ilmu yang bermanfaat kepada masyarakat. Kerana saya yakin Allah takdirkan diri saya untuk menuntut ilmu dalam pengajian islam mempunyai amanah yang cukup besar kepada ummat. Andai belajar pun malas, culas dan hanya menerima sekadarnya, maka saya telah mencalari amanah itu.


Kita sebagai penuntut ilmu perlu menggunakan masa dan ruang yang ada dengan sebaik mungkin untuk belajar dan mengutip ilmu yang ada untuk dimanfaatkan kepada diri kita dan masyarakat. Saya telah sematkan dalam hati saya untuk berbakti kepada ummat dengan cara saya sendiri. Kerana berdakwah dan memperjuangkan Islam itu luas caranya. Dan saya cuba untuk memposisikan diri saya dalam bidang Syariah ini untuk memberi manfaat kepada masyarakat. Kerana tanggungjawab itu, kerana matlamat itu, maka tidak boleh tidak saya perlu berusaha bersungguh-sungguh ke arah itu. Moga Allah pandu ke arah itu insyaAllah.

Benarlah kata ustaz subjek Maharat Al Istima' wa al Fahmu saya..

"Jika kamu tak belajar sungguh-sungguh, maka kalian telah melakukan satu dosa"

Saya tidak menuntut ilmu kerana manfaat diri saya sahaja. Tapi manfaat untuk masyarakat. Moga Allah perkenankan niat suci ini. Moga tidak timbul penyakit hati dalam jiwa. Dan saya mendoakan agar kita semua juga menuntut ilmu dengan sebaik mungkin. Belajar kerana kita sedar bahawa Allah mengamanahkan kepada kita untuk kuasai satu ilmu untuk manfaat masyarakat.

Sahaja Aku Menuntut Ilmu KeranaMu.. Ameen.. InsyaAllah..


17 March 2015

Da'i : Perlukah mengejar pointer??

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua sahabat seperjuangan mahupun sahabat satu akidah yakni Islam. Syukur Alhamdulillah masih lagi diberi ruang dan waktu untuk kita sama-sama fastabaqu al khairat yakni berlumba-lumba untuk mengejar kebaikan dan mempertingkatkan amalam kita dari hari ke sehari insyaAllah. Moga-moga kita semua dalam keberkatan dan lindungan Allah selalu. Ameen insyaAllah.

Sudah agak lama tidak menulis di sini dan saya juga ingin memohon ampun kepada Allah dan juga maaf kepada sahabat-sahabat sekiranya apa yang di post dan ditulis di sini tidak memberi manfaat kepada saya mahupun anda. saya mengharapkan sedikit usaha untuk berkongsi di sini mampu membantu menjadi saham buat say di akhirat kelak insyaAllah.

Berbalik kepada topik yang saya ingin kongsikan di sini yakni Da'i: perlukah mengejar pointer??

Saya sendiri kadangkala merasakan tidak perlu untuk mengejar pointer jika pengamalan atau praktikalnya saya tidak dapat amalkan dalam kehidupan seharian. Bagi saya keberkatan itu sudah cukup untuk diri saya dalam menuntut ilmu. Lalu seorang naqibah mula membuka minda saya. 

"Atika.. enti lihat zaman kini orang ramai memuja mereka yang terkehadapan. Masyarakat lebih mendengar mereka yang mempunyai pencapaian. Mengapa tidak kita yang menjadi orang yang ingin mereka dengari? yang mereka ingin jadikan rujukan? Negara kita ada Malaysia Idol dan masyarakat memuja mereka. Why not kita menjadi Muslim Idol? Bukan menginginkan pujian atau ketinggian darjat. tetapi sebagai wadah dalam perjuangan dan kita sebaga ejen Islam."


Saya terkesima dan mengakui hal itu dan saya seringkali mengingatkan adik-adik usrah saya dengan nasihat yang sama. jadilah ejen penerangan Islam dan gunakan wadah yang ada yang mempermudahkan kita untuk membawa Islam di mata dunia. 

Maka.. menjadi da'i juga perlu mengejar pointer. Tapi biarlah pointer yang tinggi menggambarkan kefahaman kita terhadap ilmu yang kita pelajari. Supaya kualiti pointer kita bukan sekadar dinilai di atas kertas tetapi juga dengan kefahaman kita. InsyaAllah.

Akhir kalam, moga kita semua mampu untuk menjadi orang yang terbaik di kalangan masyarakat. Islam itu yang hebat dan yang terbaik dan kita adalah ummat yang terbaik. wallahualam.

Dakwah itu nombor satu tetapi belajar itu bukan nombor dua. Belajar adalah dakwah dan perjuangan kita.