expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Pages

05 August 2015

SCROLL BLOG SENDIRIK

Assalamualaikum..

Dalam minggu ini saya asyik scroll satu persatu hasil penulisan dan pemikiran saya di blog yang biasa-biasa sahaja ini. Entah masih dibaca orang atau mungkin telah tenggelam dek kecanggihan teknologi masa kini. Facebook, Wassup, Telegram dan lain-lain. Tapi saya yakin dan percaya hasil penulisan saya ini juga dapat membantu diri saya mencari spirit yang hilang andai diri mulai tersilap langkah. Di blog ini juga saya belajar untuk merubah diri ke arah lebih baik dan positif sekiranya ada tulisan-tulisan yang mungkin bersifat pasif dan kurang matang. Dan ya.. saya juga dapat melihat bagaimana pemikiran saya berubah dari masa ke semasa. 

Adakalanya saya hampir tidak percaya benarkan apa yang ada di dalam blog saya ini sendiri adalah hasil tulisan saya. Kerana saya hampir-hampir terlupa bahawa itu adalah corak pemikiran saya pada waktu itu. Namun dalam masa yang sama saya sendiri termotivasi kerana yang menulis itu adalah saya. Jadi, ada sesuatu yang menyebabkan saya hampir lupa bagaimana pemikiran saya dibentuk pada waktu itu. Dan saya mulai menyelami diri. Ya.. waktu itu aku begitu ghairah dalam perjuangan. Begitu ghairah dalam menjadi ulat buku yang tidak jemu-jemu menghadamkan kalam-kalam ulamak. Dan dari situ saya dapat kenal pasti bagaimana saya kini. Bukankah itu sesuatu yang sangat bagus untuk kita lakukan dalam membentuk diri kita untuk menjadi manusia yang lebih baik dan berguna?

Adakala juga saya melihat ada hasil tulisan saya yang tidak matang, moody, terlalu mengikut perasaan dan begitu lemah dalam mengendalikan perasaan. Ditambah pula dengan luahan-luahan berkaitan dengan perkahwinan. Dan saya yang sekarang merasa agak menyesal dengan penulisan begitu. Tetapi saya bersyukur kerana dengan itu saya tidak akan mengulangi hal yang sama dan boleh juga menyelami perasaan mereka yang dilanda perasaan dan masalah yang sama seperti saya dahulu. Kerana kita pernah merasainya. Jangan dikeji mereka yang asyik bercerita tentang perkahwinan. Jangan dikutuk mereka yang asyik bersedih sahaja dan mengeluh dengan luahan-luahan yang macam-macam. Itu fitrah dan mereka dalam proses membentuk karekter mereka sendiri. 

Hasil daripada scroll dan scroll blog saya dalam minggu ini, saya melihat diri saya dahulu dan sekarang yang melalui pelbagai proses perubahan yang membentuk siapa diri saya yang sekarang. Yang pasti, ada yang perlu dikembalikan dan ada yang perlu dibuang tetapi jadikan ibrah dalam perjalanan kehidupan. 

Dan lagi satu, mungkin saya jarang sekali update entry di sini. Tetapi hasil tulisan yang sebelum-sebelum ini banyak membantu saya untuk mengenang kembali siapa diri ini. Mengenang kembali dugaan yang menguji. Mengenang juga kemudahan yang Allah berikan. Alhamdulillah.

Secara kesimpulannya, saya membuat keputusan bahawa saya tidak akan berhenti menulis supaya saya mampu mengenang siapa saya dulu dan kini dan juga mampu menilai siapa diri saya. InsyaAllah.

Wallahualam.

p/s: Suami tengok isterinya mengetuk keyboard update blog. Dibilangnya panjang. Nanti orang malas baca. Isterinya yang pintar menjawab gayak sasterawan negara "Aku menulis bukan mahu dipandang".. Cewah!!

11 June 2015

Ini Bukan Kisah Dongeng

Assalamualaikum..

" Akak.. seronoknya dah kahwin.. ada suami teman study.. nak mengadu pun ada orang di sebelah.. sweetnyeee.."

Aku hanya memandang dengan senyuman seribu makna.. Usia perkahwinan baru menginjak ke angka 10..10 bulan.. bukan satu tempoh yang cukup untuk aku rasa diriku cukup handal bicara tentang rumah tangga kerana aku sendiri pun masih dan masih dan masih lagi belajar erti perkahwinan yang sebenar.. Tapi.. satu perkara aku mahu pesan kepada anda-anda di luar sana yang masih belajar terutamanya.. Perkahwinan itu seperti laut.. adakala tenang..adakala gelora.. Dan satu perkara lagi yang kau perlu mengerti.. dunia perkahwinan setiap pasangan itu berbeza.. Hanya kau dan pasangan sahaja yang tahu bagaimana mahu mengendalinya..

Orang fikir sweetnya ada suami boleh teman study.. tapi kau tak tahu realitinya ada seorang isteri yang diuji saat berhadapan dengan exam, suami dikejarkan ke hospital.. anak meragam mahukan belaian si ibu kerana masalah kesihatan..


Orang fikir bestnya ada tempat mengadu.. Tapi kau tak fikir di saat kau mahu mengadu masalah, suamimu punyai masalah di tempat kerja, masalah kewangan, bakal dibuang kerja.. Dan saat itu si suami amat memerlukan sokongan isterinya..

Orang fikir lagi.. seronok dapat bercinta halal kan?.. Aku tak nafikan kemanisan dan nikmat yang Allah kurniakan.. tapi jangan lupa cinta manusia mudah terhakis.. dan syaitan juga memainkan peranan.. dan kau dan pasangan perlu banyak bersabar dan saling memahami menagani isu-isu rumah tangga..

Hakikatnya..Aku mahu nyatakan di sini, andai mahu berkahwin saatnya sedang belajar, bertanyalah kepada mereka yang arif dan sudah melaluinya.. Jangan hanya andaian dan bayangan kamu sahaja.. Kerana kau akan bersama pasanganmu selama-lamanya dengan izin Allah taala.. Supaya kau tidak bermimpi di siang hari.. supaya kau lebih matang menilai hal ini.. Wallahualam..

Perkahwinan bukan kisah dongeng..


p/s: Ucapan terima kasih buat suami yang sudi mengharungi segala onak duri dalam rumah tangga dan bersabar dengan ujian demi ujian yang mematangkan diri dan mendekatkan diri dengan Allah Taala.. Wallahualam..



14 May 2015

10 Mei 1989

Assalamualaikum..

10 Mei 1989.. 
Lahir seorang bayi lelaki yang comel lagi putih menjadi kesayangan mak dan abah. Tak di sangka kelahiran seorang bayi lelaki itu telah dicatatkan jodohnya dengan seorang bayi perempuan yang lagi comel dari bayi lelaki tersebut yang dilahirkan lebih awal dari bayi lelaki tersebut. Dan bayi perempuan itu yang sedang mengetuk-ngetuk keyboard ini sekarang.(-_-).

Tulus hati dari sanubariku, aku ucapkan terima kasih tak terhingga buat arwah mak yang telah melahirkan dia yang kini menjadi suamiku. Moga Allah tempatkan mak di kalangan wanita solehah bidadari syurga. Kami bakal menyusul pula selepas ini. Juga buat abah yang mendidik anak lelakinya yang kini juga menjadi bintang hatiku.

Duhai suamiku..
Tidak ku punya kekayaan dunia untuk aku persembahkan buatmu. Cukup sekadar doa saban hari agar Allah sentiasa melindungimu dan menyayangimu. Cukup sekadar Allah aturkan jalanmu agar menjadi seorang hambaNya yang paling dekat denganNya. 

Duhai suamiku..
Kau nikahi diriku dengan kalimat yang mulia dan kau pelihara diriku sebagai amanahmu. Terima kasih yang tak terhingga kuucapkan. Tidak mampu untuk aku balasi segala pengorbananmu dan juga aku masih tidak mampu membalas jasa kedua ibu bapaku yang rela hati melepaskan anak perempuannya untuk bergelar isteri buat dirimu..

Duhai bintang hatiku..
Aku mengerti perkahwinan yang kita bina ini punya cita-cita bermakna. Aku tau kau dan aku mahu mencium haruman syurga. Bersama mereka-mereka yang pernah bersama kita. Dan aku jua tahu perjalanan kita tak akan betah dengan ujian yang menggegarkan bahtera kita. Namun aku pinta moga kau sabar dan berdoa kepadaNya moga kita mampu mengharungi jua.

Wahai penyejuk mataku..
Maafkan aku andai fitrahku adakalanya mengecewakan dirimu. Maafkan aku andai emosiku melebih rasionalku. Adakalanya aku tak mampu untuk mengawal diriku. Walaupun berkali-kali kau katakan aku isteri yang terbaik dan cukup buat dirimu, namun aku lebih bimbang apa pandangan Allah padaku yang memegang amanah itu. Moga kau pimpin diriku untuk menjadi yang terbaik di pandanganNya jua. Moga kita sama-sama berlari mengejar redha ilahi.

Buat suamiku.. Selamat hari lahir dariku.. moga menjadi hamba, anak dan juga suami yang soleh.. Moga redha allah sentiasa bersamamu..



06 April 2015

Kenangan KPM datang lagi

Assalamualaikum..

20 Mac 2015

Rumah kami tiba-tiba sahaja terputus bekalan elektrik. baru sahaja ingin mengemas rumah. Suamiku dalam perjalanan balik ke rumah dari tempat kerjanya. Pulang sebentar untuk melihat apa yang terjadi dengan bekalan elektrik di rumah kami.

Terdengar bunyi deringan handphone Lenovo ku berkali-kali.. Mama call.. kenapa ya? Saat terdengar bicara mama buat aku terasa mahu terduduk. Surat dari KPM datang lagi. Menuntut pembayaran gantirugi biasiswa. Setelah dua tahun surat rayuan dari pihakku di hantar, baru kini aku dapat balasannya. Tak tahu kenapa, segala kenangan silam itu menerpa satu persatu. Pahit untuk ditelan namun semuanya tinggal kenangan. Aku menangis lagi. Menangis memikirkan ujian demi ujian menimpa diri.

Suamiku pulang dan terkejut melihat aku terduduk di atas katil dengan wajah kemerahan diselangi dengan air mata membasahi mata. Sudah jadi kebiasaan aku yang menangis dulu baru berfikir secara rasional. Hati seorang perempuan. Sadis.

Suamiku memujuk dengan kata-kata motivasi dipenuhi dengan ucapan berunsur akidah. Memperingatkan aku tentang adanya Allah. Menyedarkan aku erti ujian. Dahulu aku tanggungjawab ibu ayahku. Kini, suamiku berkata padaku bahawa dia akan menyambung menggalas tanggungjawab itu. Ada sedikit ketenangan di dalam hati. Mulai cuba mempositifkan diri. Hari itu juga, kami pergi melepaskan lelah dan segala kemelut yang melanda diri dengan berjalan. Berjalan melihat keindahan alam. Menikmati anugerah dan nikmat ciptaan Ilahi. Alhamdulillah. Terubat jiwaku.

Kali ini aku merancang satu demi satu dengan dimulai kalimah Allah. Moga Dia mempermudahkan urusanku. Moga Allah sentiasa memberikan kebahagiaan dan keberkatan hidup di dalam jiwa kami. Ujian daripada KPM ini hanyalah untuk menguji imanku dan suami. Juga kedua ibu bapaku. Bila aku fikir, ini semua ketentuanNya. Dengan ketentuanNya juga aku di sini. Mendalami ilmu yang aku cintai. Tidak lagi berada di dalam hiruk pikuk dunia yang aku tidak kenali, Dunia yang bagiku langsung tidak kena dengan pendirianku. Dan disitu aku ketemu hikmahnya.

Jika kita mulai bercita-cita untuk menyuburkan Islam dan memperjuangkannya, masakan jalannya dihampar dengan permaidani indah. Dan aku sedar, aku insyaAllah di dalam jalanNya, Sunnah Orang Berjuang.

Nurul_Islam