expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Pages

06 April 2015

Kenangan KPM datang lagi

Assalamualaikum..

20 Mac 2015

Rumah kami tiba-tiba sahaja terputus bekalan elektrik. baru sahaja ingin mengemas rumah. Suamiku dalam perjalanan balik ke rumah dari tempat kerjanya. Pulang sebentar untuk melihat apa yang terjadi dengan bekalan elektrik di rumah kami.

Terdengar bunyi deringan handphone Lenovo ku berkali-kali.. Mama call.. kenapa ya? Saat terdengar bicara mama buat aku terasa mahu terduduk. Surat dari KPM datang lagi. Menuntut pembayaran gantirugi biasiswa. Setelah dua tahun surat rayuan dari pihakku di hantar, baru kini aku dapat balasannya. Tak tahu kenapa, segala kenangan silam itu menerpa satu persatu. Pahit untuk ditelan namun semuanya tinggal kenangan. Aku menangis lagi. Menangis memikirkan ujian demi ujian menimpa diri.

Suamiku pulang dan terkejut melihat aku terduduk di atas katil dengan wajah kemerahan diselangi dengan air mata membasahi mata. Sudah jadi kebiasaan aku yang menangis dulu baru berfikir secara rasional. Hati seorang perempuan. Sadis.

Suamiku memujuk dengan kata-kata motivasi dipenuhi dengan ucapan berunsur akidah. Memperingatkan aku tentang adanya Allah. Menyedarkan aku erti ujian. Dahulu aku tanggungjawab ibu ayahku. Kini, suamiku berkata padaku bahawa dia akan menyambung menggalas tanggungjawab itu. Ada sedikit ketenangan di dalam hati. Mulai cuba mempositifkan diri. Hari itu juga, kami pergi melepaskan lelah dan segala kemelut yang melanda diri dengan berjalan. Berjalan melihat keindahan alam. Menikmati anugerah dan nikmat ciptaan Ilahi. Alhamdulillah. Terubat jiwaku.

Kali ini aku merancang satu demi satu dengan dimulai kalimah Allah. Moga Dia mempermudahkan urusanku. Moga Allah sentiasa memberikan kebahagiaan dan keberkatan hidup di dalam jiwa kami. Ujian daripada KPM ini hanyalah untuk menguji imanku dan suami. Juga kedua ibu bapaku. Bila aku fikir, ini semua ketentuanNya. Dengan ketentuanNya juga aku di sini. Mendalami ilmu yang aku cintai. Tidak lagi berada di dalam hiruk pikuk dunia yang aku tidak kenali, Dunia yang bagiku langsung tidak kena dengan pendirianku. Dan disitu aku ketemu hikmahnya.

Jika kita mulai bercita-cita untuk menyuburkan Islam dan memperjuangkannya, masakan jalannya dihampar dengan permaidani indah. Dan aku sedar, aku insyaAllah di dalam jalanNya, Sunnah Orang Berjuang.

Nurul_Islam