Assalamualaikum..
Entry kedua untuk tahun ini.
InsyaAllah pada 3 haribulan Februari ini dijemput untuk menjadi salah seorang panel forum sempena program Pasport Cinta di KIPSAS. Terima kasih atas jemputannya walaupun diri ini baru sahaja mencapai usia 5 bulan di dalam dunia perkahwinan sebagai seorang pelajar sepenuh masa.InsyaAllah berkongsi apa adanya dan semoga mendapat manfaat kepada para pendengar nanti insyaAllah.
Program Pasport Cinta.
Pada mulanya agak terkejut juga bilamana pihak KIPSAS ingin mengadakan program seperti ini. Program yang dikelolai oleh pihak Unit Kaunseling. Saja saya merisik pihak yang menjemput tentang objektif program ini. Agak pelik sedikit bila soal perkahwinan ketika belajar diketengahkan di KIPSAS melainkan ada isu yang timbul. Rupa-rupanya semakin ramai pelajar KIPSAS yang berkeinginan untuk mendirikan rumah tangga ketika belajar. Tapi.. wujud pula masalah lain bagi pelajar yang sudah bernikah. Masalah ingin bercerai.. masalah pelajaran dan lain-lain lagi. Oleh itu program ini dibentuk bagi memberi kesedaran kepada para pelajar untuk berfikir jauh berkenaan dunia perkahwinan ketika belajar dan bukan beranggapan bahawa dunia perkahwinan itu hanya sesuatu yang menyeronokkan semata-mata. Hm2. saya agak terekjut juga bila isu ini berlaku sebab semasa zaman saya di KIPSAS dulu tak pula saya dengar hal-hal sebegini bahkan pelajar yang berkahwin ketika itu tidaklah begitu ketara bilangannya. Jika ada yang berkahwin ketika belajar pun, saya sangat kagumi ibu-ibu dan isteri-isteri yang sanggup berjauhan dengan keluarga tersayang dan masih bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu. Oh ye.. terima kasih kepada Kak Merlina yang banyak berkongsi dan mematangkan diri saya dengan pengalamannya sebagai seorang isteri dan pelajar. Juga kepada Puan Sarah, sahabat karib saya sendiri yang juga berjauhan dengan suami nun di Sabah demi menghabiskan tempoh pengajiannya di KIPSAS yang tetap bersemangat hingga ke akhirnya dalam perjuangan menuntut ilmu.
Adik-adik sekalian..
Saya juga dahulu seperti kalian. hati itu rindu untuk bernikah disaat saya berusia 18 tahun lagi. Sebab ape? Ujian Allah taala yang menghadirkan seseorang yang meyakinkan saya untuk menerimanya sebagai seorang suami dan Alhamdulillah pemuda itu adalah suami saya yang sekarang. Jodoh yang datang itu bukan dengan bermulanya pertemuan atau saling berbalas rindu-rinduan, bergayutan hingga ke malam. Tapi jodoh yang saya langsung tidak aware bahawa ia akan datang. Di saat saya begitu berkobar-kobar untuk berjuang dalam menuntut ilmu, Allah hadirkan perasaan yang saya sendiri tidak mampu untuk menentang. Bagaimana menentang itu? Puas sudah bangun malam, puas sudah berdoa, puas sudah mengadu padaNya namun ianya tetap datang hinggakan saya sendiri hilang berat badan. Selepas berkali-kali berdoa dan istikharah, maka saya mengambil keputusan untuk menerima dengan tenang. Selepas menerima dengan tenang, saya bersyukur di jadikan sebagai seorang yang normal. Cinta itu bukan sampah atau dosa. Tapi kurniaan dari Allah taala dan saya tahu Allah ingin saya belajar sesuatu untuk lebih dekat padaNya. Bukan lebih dekat pada empunya badan ye. Urus hati anda sebaik mungkin. Dan untuk mengurus hati bukanlah semudah yang disangkakan. banyak dugaan dan tinggi mujahadahnya. Berkali-kali jugak saya pinta pada ibu bapa untuk bernikah di waktu belajar. Tapi si ibu dan bapa lebih memahami keadaan dan situasi anaknya pada ketika itu. Niat saya hanya satu. Saya ingin bebas dari mempunyai perasaan pada seseorang yang tidak halal buat saya. Hanya itu sahaja. Dan dari masa ke semasa, niat di hati ditangguh dan ditangguhkan sehinggalah tanggal 16 Ogos 2014 saya diijab kabulkan, di usia 25 tahun. Di saat saya mula sedar mengapa ibu bapa saya tidak benarkan saya bernikah di usia yang masih muda. Di saat itu juga saya mulai sedar Allah mahu mentarbiyyah diri saya menjadi orang yang lebih bersedia untuk menggalas tanggungjawab. Alhamdulillah, segala kepahitan mujahadah itu saya temui kemanisan. Dan benarlah sabar itu manis. Bagaimana saya dan bakal suami menghadapi ujian sepanjang tempoh itu? Biar menjadi lipatan rahsia. Mujahadah itu perlu tinggi. Tidak tahu berapa banyak air mata yang telah ditumpahkan dan saya hanya bertemu muka dengan suami saya pada akhir tahun 2012 buat kali pertama dan pertemuan itu tidak dirancang sama sekali. Saya menerima suami saya pada umur saya 18 tahun pada tahun 2007 di saat saya tidak bertemu dan mengingati wajahnya. dan pada tahun 2012 itu adalah kali pertama di dalam hidup kami bertemu muka dan berkomunikasi berdepan! Berjumpa kali kedua bersama ibu bapa saya pada tahun 2013 dan pada tahun 2014 kami disatukan. Begitu hebat perancangan Allah.
Saya tidak berniat untuk bercerita panjang tentang bagaimana saya bertemu suami. Tetapi saya ingin berkongsi dan mungkin sedikit pencerahan kepada adik-adik yang masih menuntut ilmu dan begitu ingin bernikah di waktu belajar. Jika ditanyakan kepada saya, andai Allah tidak menguji saya dengan perasaan itu, maka saya tidak mahu bernikah di usia belajar. Sebab saya sendiri bukanlah seseorang yang sangat layak untuk bergelar isteri seperti bersifat lemah lembut, memahami orang lain, bukan juga pendengar yang baik bahkan masih bertatih menguruskan tanggungjawab pada usia yang semuda itu. Dan mungkin disebabkan oleh sifat saya yang keras, lone ranger dan tak peduli orang lain itulah Allah hadirkan saya perasaan itu supaya saya bersifat lemah lembut dan lebih menghargai keluarga dan memahami mereka. Mungkin juga kan? Tapi kini dengan usia saya yang kin 26 tahun, maka Insyaallah saya dan suami mampu mengendalikan bahtera kecil kami walaupun ketika ini saya perlu menghabiskan pengajian yang berbaki setahun lebih sahaja lagi. Moga Allah permudahkan saya memenuhi hasrat ayah bonda untuk melihat saya menghabiskan pengajian ke peringkat ijazah dan impian saya sendiri untuk bergelar peguam yang mampu memberi manfaat kepada ummah. Amin insyaAllah.
Adik-adik yang dikasihi Allah..
Dunia perkahwinan itu bukan sekadar hidup berdua dan bercinta. Tapi perkahwinan itu penuh dengan warna dan rasanya. Tanggungjawab tetap jadi keutamaan. Pengurusan itu perlu. Nasihat saya bagi sesiapa yang ingin bernikah di waktu belajar, buat kajian dan bertanya kepada mereka yang berpengalaman. Bukan hanya membuat kesimpulan sendiri bahawa perkahwinan di waktu belajar itu mudah untuk ditempuhi. Jika ingin berumah di tepi pantai, pastikan rumahmu itu cukup kukuh untuk menahan lambungan ombak. Andai tidak kukuh, maka musnahlah semuanya. Oleh itu persediaan itu perlu cukup. Bukan sahaja persediaan dari sudut kesediaan kamu ingin mencurahkan rasa cinta kepada suami atau isteri dan anak-anak, bahkan lebih dari itu. Persediaan fizikal, mental, rohani jiwa dan raga. Banyak yang perlu dikorbankan. Kutiplah pengalaman dari mereka yang arif dengan dunia perkahwinan ketika belajar. Banyakkan membaca buku berkenaan dengan pengurusan diri, pengurusan rumah tangga, komunikasi dalam rumah tangga. Bukan mengadap buku-buku ayat-ayat cinta, ketika cinta bertasbih dan sebagainya. Biar perkahwinan yang anda ingin bina itu sifatnya membumi. Biar imaginasi anda berkenaan dunia perkahwinan itu bersifat realiti bukan fantasi. Jika anda punyai persediaan yang cukup maka silakan berkahwin dan uruskan rumah tangga anda sebaiknya. Keburukan yang datang dengan perkahwinan itu bukan disebabkan perkahwinan itu tetapi kegagalan kita mengurus rumah tangga. Saya nasihatkan kata-kata ini buat diri saya sendiri yang masih bertatih dalam dunia ini. Pastikan anda bersedia untuk memberikan komitmen sepenuhnya dalam tiap apa yang anda hadapi. Sebagai seorang pelajar, janganlah menjadikan perkahwinan itu satu alasan untuk anda tidak mampu menyiapkan tugasan dan lain-lain. Bahkan kita sepatutnya menjadi seseorang yang lebih bertanggungjawab untuk melaksanakan tugasan kerana kita sedar bahawa kita juga punyai tanggungjawab yang berbeza dari rakan-rakan yang belum berkahwin dan perkara ini perlu di pandang sebagai sesuatu yang penting bagi seseorang yang berkahwin ketika belajar.
Perbincangan tentang apa yang bakal anda lakukan untuk mengatur hidup anda selepas perkahwinan amat penting. Berbincanglah dan capai persetujuan bersama sebelum melangkah ke alam perkahwinan. Sekiranya pasangan itu sendiri tidak memahami dan tidak mampu untuk memberikan kerjasama, lebih baik ditangguh terlebih dahulu dan peliharalah batasan yang digariskan oleh Islam. Fokus kepada pelajaran. Setiap mujahadah itu pahala ganjarannya. Pelihara hubungan dengan Allah sebaik mungkin. Saya juga menyeru supaya jangan jadikan buku-buku cinta Islamik, ayat-ayat cinta Islami sebagai rujukan. Tetapi carilah rujukan yang bersifat realiti. Benar.. perkahwinan itu penuh dengan kemanisan. Tapi ada juga pahitnya yang memerlukan proses untuk menyelesaikannya. Adakala diuji dengan masalah ketidak sefahaman. Adakala diuji masalah kewangan. Jadi, bagaimana kita mengendalikan semua masalah itu? Lihat pada diri sendiri dan jangan melihat kepada persepsi yang kita bina sendiri tanpa rujukan yang kukuh.
Saya bukanlah berniat untuk menakutkan mereka yang ingin berkahwin ketika belajar. tetapi, sebelum berkahwin fikir sebaik mungkin dan rancanglah sebelum anda gagal. Buatlah perangcangan pengurusan keluarga dengan sebaiknya. Betul, perkahwinan itu dapat memelihara maruah diri, Tapi perkahwinan juga menuntut anda untuk sedar tentang erti tanggungjawab. Jadi, biarlah diri kita seimbang dalam membuat penilaian tentang perkahwinan. Cinta dan tanggungjawab. Cinta itu adakalanya boleh pudar dan tanggungjawab itu pula berpanjangan. Dalam perkahwinan, tanpa tanggungjawab, cinta boleh hilang. Jadi, buatlah pilihan anda sebaiknya. Fikir jauh sebelum membuat sesuatu keputusan. Soal kewangan, soal anak, soal tanggungjawab suami isteri, komunikasi suami isteri dan sebagainya. Jangan jadikan sunnah nabi Muhammad s.a.w itu sesuatu fitnah yang disebabkan oleh diri kita sendiri. Wallahualam.
p/s: maaf kalau entry kali ni ada salah silapnya. Assalamualaikum.
No comments:
Post a Comment