expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Pages

13 January 2012

Rebut Hidayah Allah


Assalamualaikum…

Telah lama cinta tersasar…
Dari cinta yang suci…

Maaf andai hari ini bicara ana lebih kepada perasaan cinta. Yang lahir dari hati tanpa diduga. Usah pelik mengapa muslimat hiraki seperti ana masih lagi berbicara tentang cinta. Sekadar mahu berkongsi pengalaman-pengalaman yang dikutip sepanjang berada di dalam jalan tarbiyyah ini.


Usai membedah sedikit coretan pemilik Langit Ilahi di dalam naskhah yang santai dan mudah difahami. “BATU-BATA KEHIDUPAN”. Menginsafkan diri yang sememangnya sedang terleka dengan tipu daya syaitan yang datang tanpa disedari. Berbicara mengenai definisi mudah tentang cinta. Cinta itu adalah mahu orang yang dicinta bersama-sama ke syurga. Hakikatnya manusia lupa tentang apa yang akan berlaku di akhirat kelak. Suami mencintai isteri kerana apa? Ibu  mencintai anak juga kerana apa? Yang didedahkan dengan kata-kata cinta islamik, mungkin akan berkata kami bercinta kerana Allah. Namun tidak dibumikan cinta kerana Allah, tidak direalitikan dengan perbuatan. Hanya sekadar berkata-kata bagi menghalalkan cinta yang dikatakan ISLAMIK itu, hanya ayat bagi penyedap diri sendiri bagi yang mengetahui hakikatnya perkara itu salah.


Cinta yang hadir pada mulanya merubah hidup seorang insan itu semakin hangat bercinta dengan Allah, semakin takutnya dia dengan azab Allah andai cinta yang hadir itu tidak dijaga rapi dari fitnah dan nafsu serakah. Saban malam, Allah menjadi tempatnya mengadu, dan rasa cintanya semakin membara dengan iman dan taqwa. Semakin diuji dengan godaan manisnya cinta sesame insan, semakin diikat kuat pergantungan dengan Allah. Semakin dilambung ombak ganas godaan syaitan, semakin rapi dikemudi bahtera kehidupan .  Subhanallah.. Tangisan itu berselang seli dengan zikir kepada Allah kerana bimbang terjerumus ke dalam lembah kemaksiatan.

Tetapi syaitan itu tidak akan pernah putus asa. Dihantar pula si iblis yang lebih berpengalaman. Dibolak-balikkan hati dengan segala pujukan. Dan Allah swt hantar lagi ujian bagi menguji hati hambaNya. Saat itu adakalanya pegangan kepada tali Allah kadang-kadang terlepas, kadang-kadang dipegang erat kembali. Segalanya semakin payah dan semakin kuat pula ombak yang mendatang. Sampai satu ketika insan ini terlepas dari pegangan tali itu. Syaitan mula tersenyum lebar. Selebarnya hingga menampakkan taring yang hodoh. Mahu sahaja mereka bergembira dengan detik-detik kemusnahan dua orang anak Adam. Hilang sudah kehangatan cinta kepada Allah kerana sudah berganti dengan hangatnya cinta dua insan. Hilang sudah kata zikir di bibir kerana sudah diganti dengan kata manis bicara cinta dua manusia. Segalanya dikongsi, ditangisi bersama. Semua orang di dunia ini tidak mengerti perasaan mereka berdua. Semua orang tidak memahami kesengsaraan mereka berdua. Dan lama-kelamaan hubungan itu berkocak kerana kejemuan melanda. Itulah bahana cinta yang dirujuk dengan syaitan. Itulah kesan cinta tanpa kecintaan kepada Tuhan. Lagi siksa, lagi memeritkan. Kerana apa? Manusia itu banyak kelemahan. Menangislah mereka di saat hati sudah tidak keruan. Baru waktu itu mencari Tuhan.

Allah masih memberikan sekelumit peluang dengan hidayah tanpa disangka-sangka. Yang memutuskan tali ikatan antara manusia dengan syaitan. Namun perlu bermujahadah untuk kembali ke pangkal jalan. Rebut kembali hidayah cinta Allah. Bumikan kembali cinta nan mekar kerana inginkan Keredhaan Allah. Jernihkan kembali cinta yang kian kotor dek nafsu syaitan. Kobarkan kembali cinta itu dengan satu lafaz yakni : Let’s getting love til jannah insyaAllah… ( BUMIKAN KATA-KATA INI!!) 

No comments: